Stevia Rebaudiana

Stevia adalah genus daripada 240 spesis tumbuhan dan semak dalam keluarga bunga matahari (Asteraceae), berasal dari daerah subtropika dan tropika dari bahagian barat Amerika Utara ke Amerika Selatan. Spesis Stevia Rebaudiana, umumnya dikenali sebagai daun manis, daun gula atau hanya Stevia, yang banyak ditanam kerana daunnya yang manis. Sebagai pengganti gula dan pemanis, rasa manis Stevia lambat dikesan oleh deria rasa pada lidah tetapi kesan manisnya adalah lebih lama daripada gula.

Ekstrak daripada tumbuhan Stevia ini telah digunakan berkurun lamanya oleh orang asli di Paraguay dan Amerika Selatan. Kini, Stevia digunakan dengan meluas sebagai pemanis teh dan kopi dan minuman atau makanan yang lain. Stevia juga boleh digunakan dalam pelbagai resepi masakan dan pembuatan kek atau roti.

Stevia ialah alternatif kepada gula yang sihat dan semulajadi. Daun Stevia tulen tidak mengndungi kalori, tiada karbohidrat, tiada kandungan lemak dan tidak mempengaruhi paras gula dalam darah. Stevia boleh didapati sebagai produk pengguna di serata dunia terutama di Jepun, China dan Amerika Selatan. Minuman, gula-gula dan gula-gula getah yang mengandungi Stevia dihasilkan oleh sebahagian besar syarikat makanan utama di Jepun. Di Amerika Syarikat, Stevia boleh didapati dalam bentuk makanan tambahan, minuman protein dan pelbagai jenis teh.